Friday, 7 February 2014

PENDIDIKAN KHAS MASALAH PENDENGARAN

1.    Pengenalan 

Bidang  Pendidikan  Khas  merupakan  suatu  bidang  yang  kian  berkembang. Banyak  ilmu  dan  kemahiran  yang  perlu  dikuasai  oleh  seseorang  guru  Pendidikan  Khas. Pengetahuan  tentang  ciri-ciri  individu  berkeperluan  khas, akta  dan  hak  perundangan  berkenaan  mereka  wajar  diketahui  dan  oleh  guru-guru, dan  juga  masyarakat  umum  bagi  memastikan  keperluan  kanak-kanak  berkeperluan  khas  dapat  dipenuhi  mengikut  kategori  masing-masing.
            Tugasan  ini  mempunyai  tiga  sub-tugasan, tugasan  yang  pertama  ialah  tugasan  secara  individu  di  mana  setiap  individu  diminta  untuk  mencari serta  mengumpul, menyusun  serta  menyediakan  nota  dalam  bentuk  penulisan  tentang  maklumat  pendidikan  khas  yang  dikaji  tersebut. Sub-tugasan  yang  kedua  ialah  tugasan  secara  berpasangan. Dalam  tugasan  ini, pelajar  dikehendaki  mencari  artikel  berkaitan  kanak-kanak  berkeperluan  khas  dan  memilih  satu  kategori  kanak-kanak  berkeperluan  khas  tersebut  dan  membuat  penulisan  tentang  apa  yang  dapat  difahami  melalui  kajian  tersebut  seterusnya   membuat  analisis  dan  sintesis. Berdasarkan  penulisan  tersebut  merangkumi  perkara-perkara  seperti  punca  masalah, ciri-ciri  fizikal  kanak-kanak  berkeperluan  khas  tersebut, aspek  kognitif, emosi, sosial  dan  juga  aspek  tingkah  laku. Sub-tugasan  yang  terakhir  ialah  membuat  satu  lawatan  ke  tempat/sekolah  yang  mempunyai  murid  berkeperluan  khas  dan  membuat  pemerhatian  pelaksanaan  pengajaran  dan  pembelajaran  terhadap  murid  bermasalah  pembelajaran. Seterusnya  membuat  satu  laporan  tentang  kesemua  aspek  modifikasi  dalam  mengajar  murid-murid  seperti  berikut.
            Akhir  sekali  ialah  menulis  refleksi  yang  berkaitan  tentang  pengalaman  semasa  melakukan  tugasan  tersebut. Selain   itu, membuat  refleksi  tentang  isu-isu  yang  dihadapi  semasa  menjalankan  tugasan  ini  dan  bagaimana  masalah  itu  diselesaikan.


2.1.        Mengenali  Pendidikan  Khas
Bidang  pendidikan  khas  merupakan  suatu bidang  yang  kian  berkembang. Sebagai  seorang  guru  pendidikan  khas, banyak  ilmu dan  kemahiran  yang  perlu  dikuasai  oleh  guru. Guru-guru  pendidikan  haruslah  tahu  tahu  tentang  ciri-ciri  individu  berkeperluan  khas, akta  dan  hak  perundangan  berkenaan  kanak-kanak  berpendidikan  khas. Selain  guru-guru, masyrakat  umum  juga  perlu  memastikan  keperluan  khas  dapat  dipenuhi  mengikut  kategori  masing-masing. Sebelum  kita  mengkaji  dengan  lebih  dalam  lagi  berkaitan  kanak-kanak  berpendidikan  khas  ini, wajarlah  kita  mengetahui  tentang  definisi  dan  konsep  kanak-kanak  berkeperluan  khas  serta  pendidikan  khas. Kebanyakan  orang  berminat untuk mengetahui  berkaitan  pendidikan  khas  mungkin  disebabkan  adanya  ahli  keluarga  yang  tergolong  di  dalam  kanak-kanak  yang  memerlukan  pendidikan  yang  khas  ataupun  kerana  mereka  berminat  untuk  mendekati  kanak-kanak  yang  berkeperluan  khas  tersebut.

2.2.        Definisi  Pendidikan  Khas
Menurut  Hallahan  dan  Kauffman (2006), Pendidikan  khas  ditakrifkan sebagai  satu  bentuk  pendidikan  yang  disediakan  untuk  memenuhi  keperluan  kanak-kanak  berkeperluan  khas.
Gargiulo  (2003)  pula  berpendapat  pendidikan  khas  merupakan  program  pengajaran  khusus  yang  direka  bentuk  bagi  memenuhi  keperluan  pelajar  luar  biasa. Ia  mungkin  memerlukan  penggunaan  bahan-bahan, peralatan  dan  kaedah  pengajaran  khusus.
Menurut  Friend  (2005)  pula  pendidikan  khas  adalah  pengajaran  yang  direka  bentuk  khusus  bagi  memenuhi  keperluan  kanak-kanak  yang  kurang  upaya. Pengajaran  ini  mungkin  dikelolakan  dalam  bilik  darjah, di  rumah, di hospital  atau  institusi  lain.
            Selepas  mengkaji  pendapat-pendapat  tokoh  tentang  definisi  pendidikan  khas, dapatlah  kita  fahami  bahawa  pendidikan  khas  ialah  satu  bentuk  pendidikan  yang  disediakan  atau  dilaksanakan  khas  untuk  kanak-kanak  yang  kurang  upaya  atau  tidak  mampu  belajar  seperti  kanak-kanak  normal  yang  lain. Teknik  pengajaran  dan  pembelajaran  bagi  kanak-kanak  yang  memerlukan  pendidikan  khas  ini  menggunakan  kaedah  dan  bahan  bantu  mengajar  yang  berbeza  dengan  kanak-kanak  normal  yang  lain.
2.3.        Definisi  Kanak-kanak  Berkeperluan  Khas
Kanak-kanak  yang  berkeperluan  khas  ini  ialah  kanak-kanak  yang  terdiri  daripada  kanak-kanak  yang  mengalami  kesukaran  untuk  belajar. Kanak-kanak  yang  mempunyai  kemahiran  kognitif  yang  tinggi  juga  dikategorikan  sebagai  kanak-kanak  berpendidikan  khas. Kanak-kanak  pendidikan  khas  ini  memerlukan  perubahan  ataupun  pengubahsuaian  dalam  kukurikulum  dan  kaedah  pengajaran  supaya  dapat  meningkatkan  potensi  mereka.

2.4.        Istilah  penting  dalam  Pendidikan  Khas

2.4.1.   Handicap
Handicap  ataupun  dikenali  sebagai  kecacatan  merupakan  suatu  kelemahan  yang  terdapat  dalam  diri  seseorang  yang  diakibatkan  oleh  sesuatu  kekurangan  yang  menghadkannya  ataupun  menghalangnya  daripada  memenuhi  keperluan  sebagai  seseorang  yang  normal. Sesuatu  kecacatan  berkemungkinan  akan  menghalangnya  daripada  menjalankan  kehidupan  normal  di  dalam  persekitaran  yang  berbeza. Sebagai  contoh, seorang  individu  yang  bermasalah  pendengaran  akan  rasa  cacat  kerana  sukar  untuk  bermain  alat  muzik  di  dalam  suatu  aktiviti  pencaragam  di  sekolahnya  yang  terdiri  daripada  kanak-kanak  normal. Sebaliknya  dia  tidak  merasa  cacat  ketika  berada  di  dalam  kelas  matematik, kerana  dalam  matapelajaran  tersebut  tidak  memerlukannya  untuk  mendengar  bunyi   muzik. Ini  bermakna, handicap  ialah  kelemahan  atau  kekurangan  yang  menghalang  seseorang  pelajar  untuk  melakukan  sesuatu  yang  sama  seperti  kanak-kanak  normal  yang  lain. Namun, pada  situasi  yang  berbeza, mereka  tidak  merasa  cacat.

2.4.2.    Impairment

Impairment  ialah  ketidaknormalan  yang  melibatkan  aspek  psikologi, fisiologi  dan  anatomi. Ianya  juga  berkaitan  dengan  ketidaknormalan  struktur  atau  fungsi  dari  segi  psikologi, fisiologi  dan  anatomi. Contohnya  kekurangan  dari  aspek  tuna  pendengaran  atau  tuna  penglihatan.


2.4.3.   Disability  atau  disorder
Disability  ataupun  disorder  ialah  sesuatu  yang  menghalang  seseorang  daripada  melakukan  sesuatu  kerja  atau  tugas  yang  dapat  dilakukan  oleh  individu  normal. Ianya  berlaku  apabila  sesuatu  kekurangan  telah  menghadkan  seseorang  daripada  melakukan  tugas  harian  seperti  berjalan  kaki, melihat, mendengar  dan  menyelesaikan  masalah  matematik  yang  mudah. Menurut  Heward  (2003), Individu  kurang  upaya  tidak  cacat, kecuali  kekurangan  itu  membawa  kepada  masalah  pembelajaran, masalah  peribadi, masalah  bercampur  gaul, masalah  melakukan  pekerjaan  dan  masalah-masalah  lain.

2.5.        Sejarah  Perkembangan  Pendidikan  Khas  di  Malaysia

Pendidikan  Khas  di  Malaysia  bermula  sejak  tahun  1920an  lagi. Pendidikan  Khas  ini  telah  dimulakan  oleh  golongan  sukarelawan. Sukarelawan  ini  telah  membuka  sekolah-sekolah  untuk  pelajar  yang  bermasalah  dalam  penglihatan  dan  pendengaran. Pendidikan  khas  formal  telah  dibuka  pada  tahun  1948  dengan  tertubuhnyanya  sekolah  Rendah  Pendidikan  Khas  Princess  Elizabeth  di  Johor  Baharu  untuk  kanak-kanak  buta.
      Seterusnya  pada  tahun  1954, Sekolah  Pemulihan  kepada  kanak-kanak  lembam  iaitu  lemah  dalam  menguasai  kemahiran  membaca, menulis  dan  mengira  pada  tahap  umur  yang  sepatutnya. Pada  tahun  1988, Kementerian  Pendidikan  telah  memulakan  kelas  perintis  di  Sekolah  Kebangsaan  Jalan  Batu, Kuala  Lumpur  untuk  pelajar  yang  bermasalah  pembelajaran.
      Akta  Pelajaran  1961  ada  menyatakan  bahawa  sekolah  khas  adalah  sekolah  yang  menyediakan  layanan  pendidikan  khas  untuk  murid-murid  yang  kurang  upaya. Pada  tahun  1978, laporan  Jawatankuasa  Kabinet  telah  mengkaji  Perlaksanaan  Dasar  Pelajaran  melalui  Perakuan  169. Kajian  kepada  Perlaksanaan  Dasar  Pelajar  tersebut  menjadi  titik  tolak  yang  membawa  kepada  satu  penekanan  dan  tumpuan  yang  lebih  jelas  kepada  perkembangan  pendidikan  khas  di  Malaysia.
      Pelan   Pembangunan  Pendidikan  Malaysia  2013-2025  telah  mempunyai  akses  dengan  pendidikan  dan  murid  berkeperluan  khas  boleh  memilih  satu  daripada  tiga  opsyen  persekolahan  yang  berikut :
·         Sekolah  Pendidikan  Khas : Sekolah  khas  dengan  semua  murid  diklasifikasikan  sebagai  kurang  upaya (seperti  sekolah  untuk  masalah  penglihatan  atau  murid  kurang  upaya  yang  lain);
·         Program  Intergrasi  Pendidikan  Khas  (SEIP): Sekolah  arus  perdana  yang  mempunyai  kelas  khusus  untuk  murid  berkeperluan  khas; dan
·         Program  pendidikan  inklusif : Sekolah  arus  perdana  yang  mengintergrasi  satu  hingga  lima  murid  berkeperluan  khas  dalam  kelas  arus  perdana.
Perkembangan  Pendidikan  Khas  di  Malaysia  lebih  tertumpu  kepada  kumpulan  kanak-kanak  bermasalah  penglihatan, bermasalah  pendengaran  dan  bermasalah  dalam  pembelajaran.

2.6.        Sejarah  Perkembangan  Pendidikan  Khas  di  Luar  Negara

Pendidikan  Khas  di  luar  negara  pada  mulanya  tidak  mendapat  perhatian. Pada  29  November  1975  kongres (parlimen)  Amerika  Syarikat  telah  meluluskan  Public  Law  94-142. Undang-undang  ini  menjamin  bahawa  setiap  individu  di  antara  3  hingga  21  tahun  mendapat  pendidikan  percuma  dalam  persekitaran  yang  seberapa  boleh  yang  tidak  menghalang  perkembangan  intelek  mereka. Undang-undang  ini  juga  membenarkan  kanak-kanak  yang  kurang  upaya  belajar  bersama-sama  kanak-kanak  normal  yang  lain. Pada  tahun  1990, Public  Law  telah  diberikan  nama  baru  iaitu  Akta  Pendidikan  Individu  Kurang  Upaya (Individuals  With  Disabilities  Education  Act-Public  Law  94-476)  IDEA. Undang-undang  ini  menunjukkan  bahawa  pentingnya  melindungi  hak-hak  orang  kurang  upaya.
      Undang-undang  tersebut  juga  telah  menyediakan  pendidikan  percuma  kepada  kanak-kanak  yang  kurang  upaya. Pendidikan  yang  diberikan  tersebut  bercorak  awam  dan  sesuai  kepada  kanak-kanak  berkeperluan  khas. Ini  bermakna, pendidikan  yang  diberikan  kepada  kanak-kanak  berkeperluan  khas  tersebut  tidak  akan  dikenakan  sebarang  bayaran.
      Pendidikan  untuk  orang  kurang  upaya  ini  dilaksanakan  di  dalam  persekitaran  yang  tidak  menghalang  mereka  untuk  berkembang. Tidak  ada  pengasingan  antara  kanak-kanak  yang  kurang  upaya  dengan  kanak-kanak  normal  yang  lain. Kanak-kanak  kurang  upaya  ini  boleh  belajar  di  dalam  kelas  biasa  bersama  kanak-kanak  biasa  di  mana  corak  pembelajaran  ini  dinamakan  sebagai  pendidikan  inklusif. Hal  ini  bermakna  kanak-kanak  khas  dilindungi  daripada  sebarang  diskriminasi  dalam  pendidikan. Ibubapa  juga  terlibat  dalam  merancang  dan  menentukan  perkembangan  pendidikan  setiap  murid

     
2.7.        Perundangan  Pendidikan  Khas  di  Malaysia  dan  Luar  Negara

2.7.1.   Malaysia
Selepas  Akta  Pendidikan  1996  diwartakan  di  Malaysia, Pendidikan  Khas  di  negara  ini  telah  berkembang  maju. Kesedaran  masyarakat  terhadap  pendidikan  khas, peranan  undang-undang  dan  polisi  pemerintah  telah  Berjaya  menggerakkan  program  pendidikan  khas  di  Malaysia.
      Amalan  PL  94-142  bertambah  mantap   di  dalam  sistem  pendidikan  di  Malaysia  melalui  pendidikan  untuk  semua, pendidikan  percuma, kelas  inklusif, khidmat  sokongan  daripada  pelbagai  pihak  dan  juga  penyediaan  Rancangan  Pengajaran  Individu.
      Akta  Pendidikan  Kebangsaan  yang  digubal  setelah  mengambilkira  pandangan  dan  aspirasi  semua  pihak  berlandaskan  kepada  Falsafah  Pendidikan  Negara. Di  dalam  Akta  Pendidikan  ini, konsep  sistem  pendidikan  kebangsaan  dikukuhkan  lagi  dengan  meliputi  semua  peringkat  persekolahan  dari  peringkat  pra  sekolah  hingga  ke  peringkat  pendidikan  tinggi, dan  meliputi  semua  katergori  sekolah, iaitu  sekolah   kerajaan, sekolah  bantuan  kerajaan  dan  sekolah  swasta.
      Kedudukan  Bahasa  Kebangsaan  bertambah  kukuh  apabila  bahasa  tersebut  digunakan  sebagai  bahasa  pengantar  utama  dalam  sistem  pendidikan  kebangsaan. Kedudukan  bahasa  ini  semakin  kukuh  apabila  bahasa  ini  dijadikan  sebagai  mata   pelajaran  yang  wajib  diambil  di  semua  sekolah  dan  institusi  pendidikan.
      Kurikulum  bagi  semua  jenis  sekolah  dan  semua  kategori  sekolah  akan  selaras  dengan  kehendak  negara  seperti  yang  diperuntukkan  dalam  Akta  Pendidikan  1996  yang  wajib  diaplikasikan  oleh  semua  pihak. Ini  bermakna, murid-murid  dari  semua  jenis  dan  kategori  sekolah  akan  disediakan  untuk  mengambil  peperiksaan  yang  ditetapkan  oleh  kerajaan. Rasional  daripada  tindakan  ini  ialah  dapat  memudahkan  dalam  membuat  penilaian  atau  pengukuran  yang  sama  tentang  pencapaian  murid-murid  daripada  sekolah-sekolah  di  Malaysia. Pendidikan  Islam  di  sekolah  juga  telah  diperluaskan  untuk  semua  murid-murid  Islam  di  semua  jenis  sekolah  termasuk  sekolah  swasta  dan  menjadikan  mata  pelajaran  tersebut  sebagai  salah  satu  mata  pelajaran  teras  di  sekolah.
      Akta  Pendidikan  1996  telah  memudahkan  sekolah  vokasional  ditukartarafkan  ke  sekolah  teknik, manakala  politeknik  boleh  mengadakan  kerjasama  dengan  mana-mana  institusi, perbadanan  atau  organisasi  perindustrian  untuk  mengendalikan  kursus  teknik  atau  vokasional  atau  program  latihan  termasuk  program  pertukaran. Program  politeknik  juga  boleh  mengadakan  program  berkembara  peringkat  diploma  dan  ijazah  dengan  institusi-institusi  pendidikan  tinggi, sama  ada  dalam  negeri  ataupun  luar  negeri. Ini  adalah  kerana  sejajar  dengan  penumpuan  terhadap  usaha  membudayakan  pendidikan  sains  dan  teknologi.
      Akta  Pendidikan  1996  mengambilkira  kepentingan  semua  kaum  dengan  cara  mengekalkan  status  quo  sekolah  rendah  jenis  kebangsaan  dan  juga  60  buah  sekolah  swasta. Ini  kerana  Malaysia  adalah  sebuah  negara  yang  berbilang  kaum, dan  berdasarkan  permuafakatan  politik  yang  telah  dibuat  oleh  pemimpin-pemimpin  negara  yang  terdahulu. Unified  Examination  yang  diambil  oleh  sekolah-sekolah  ini  serta  lembaga  pengelola  sekolah  conforming  dan  sekolah  mission  dikekalkan.
      Pengajaran  bahasa  suku  kaum  juga  turut  dipraktikkan  sekiranya  munasabah  dan  sesuai  diaplikasikan  akan  diperuntukkan  oleh  Akta  Pendidikan  1996.
      Dasar-dasar  berkaitan  Pendidikan  Khas  seperti  Deklarasi  Hak-hak  Manusia  Sejagat  1948  berkaitan  hak  bagi  setiap  individu  mendapat  pendidikan  yang  menekankan  keperluan-keperluan  pembelajaran  bagi  untuk  orang  kurang  upaya  menuntut  perhatian  khusus. Bagi  menyediakan  persamaan  akses  kepada  pendidikan  untuk  semua  kategori  orang  kurang  upaya  sebagai  bahagian  yang  sepadu  dalam  sistem  pendidikan  terdapat  langkah-langkah  yang  perlu  diambil.
·         Pada  tahun  1959  Pertubuhan  Bangsa-Bangsa  Bersatu  (PBB)  telah  mengisytiharkan  Hak  Kanak-Kanak  Sedunia  dimana  kanak-kanak  ini   berhak  menerima  penjagaan  yang  khusus  dan  bimbingan  mengikut  kecacatan  yang  dialami  serta  peluang  menjadi  kanak-kanak  normal.
·         Akta  Pelajaran  1961  dalam  bahagian  1 (tafsiran)- menyatakan  bahawa  sekolah  khas  bermakna  sekolah  yang  menyediakan  layanan  yang  khas  untuk  kanak-kanak  kurang  upaya.
·         Laporan  Jawatankuasa  Kabinet  1978 -  mengkaji  dasar  perlaksanaan  pelajaran  melalui  Perakuan  169  merupakan  satu  titik  tolak  yang  membawa  kepada  satu  penekanan  dan  tumpuan  yang  jelas  kepada  perkembangan  Pendidikan  Khas  di  Malaysia.
·         Tanggungjawab  kementerian  yang  berkaitan :-
1.    Kementerian  Pendidikan : bertanggungjawab  tentang  pendidikan  kanak-kanak  yang  kurang  upaya  seperti  kanak-kanak  yang bermasalah  pendengaran, bermasalah  penglihatan, bermasalah  pembelajaran  atau  kanak-kanak  bercabaran  intelek  yang  boleh  dididik.
2.    Kementerian  Kebajikan Masyarakat : Bertanggungjawab  tentang  keperluan  pendidikan  kanak-kanak  yang  kurang  upaya  fizikal, terencat  akal  sederhana  dan  teruk  serta  kanak-kanak  spastik.
3.    Kementerian  Kesihatan : Bertanggungjawab  dalam  mengenalpasti  diperingkat  awal  dan  menyaring  kanak-kanak  yang  dilahirkan  dalam  keadaan  berisiko.
4.    Akta  Pelajaran  1961  disemak  semula  dan  digantikan  dengan  Akta  Pendidikan  1996.

2.7.2.   Luar  Negara
Kongres  Amerika  Syarikat  telah  memperkenalkan  serta  meluluskan  Public  Law  94-142  pada  29  November  1975  yang  sebelum  ini  dikenali  sebagai  Akta  Pendidikan  untuk  Semua  Kanak-kanak  Cacat (Education  for  All  Handicapped  Children  Act). Pengenalan  tersebut  adalah  hasil  titik  tolak  daripada  pandangan  yang  menyatakan  bahawa  hak  kanak-kanak  adalah  dinafikan  apabila  mereka  diasingkan  daripada  kanak-kanak  sebaya  dengannya  disebabkan  oleh  kemahiran-kemahiran  yang  lebih  tinggi  boleh  dicapai  oleh  kanak-kanak  khas  ini  apabila  mereka  diberi  peluang  untuk  membuat  pemerhatian  dan  juga  melibatkan  diri  dengan  kanak-kanak  biasa (Odom &  McEvoy  1988).
      Hasil  perkembangan  Pendidikan  Khas  di  Amerika  Syarikat  ini, undang-undang  telah  memberikan  pendidikan  percuma  kepada  setiap  individu  yang  berusia  antara  3  hingga  21  tahun. Kanak-kanak  yang  bermasalah  dan  kurang  upaya  ini  akan  berpeluang  belajar  bersama-sama  dengan  kanak-kanak  biasa  yang  lain. Oleh  itu, setiap  sekolah  akan  diperuntukkan  guru  pendidikan  khas  bagi  menjaga  hak  kanak-kanak  yang  mengalami  masalah.
      Pada  tahun  1990 Mandat-mandat  asas  PL 94-142  telah  diberi  penekanan  setelah  Akta  Pendidikan  Individu  Kurang  Upaya(Individuals  with  Disabilities  Act, Public  Law  94-476)  atau  singkatannya  IDEA  diperkenalkan. Mandat-mandat  tersebut  telah  memberikan  penekanan  tentang  perkara  yang  berikut :-
·         Pendidikan  Untuk  Semua 
Diberikan  kepada  setiap  individu  tanpa  mengira  masalah  yang  mereka  hadapi  ini  kerana  mereka  berhak  untuk  menerima  pendidikan. Ini  bermakna  kanak-kanak  berpendidikan  khas  adalah  tidak  terkecuali  dalam  menerima  pendidikan  dan  mereka  layak  untuk  menerima  pendidikan  percuma  dan  pendidikan  bercorak  awam  yang  sesuai  di  dalam  kelas  atau  di  sekolah  khas. Pihak  Kerajaan  akan  membiayai  sebarang  bayaran  kepada  kanak-kanak  berpendidikan  khas  melalui  kutipan  cukai  yang  kerajaan  perolehi. Pendidikan  percuma  akan  disediakan  di  setiap  negeri  di  Amerika  Syarikat  bagi  kanak-kanak  yang  berusia  3  hingga  21  tahun. Tumpuan  diberikan khusus  kepada  individu  kurang  upaya  terutamanya  kepada  bayi  dan  kanak-kanak. Menurut  Friend.M (2006) melalui  pendidikan  untuk  semua, setiap  negeri  telah  memperkenalkan  ‘child  find  system’  sebagai  prosedur  untuk  menyedarkan  masyarakat  bahawa  perkhidmatan  untuk  kanak-kanak  khas  telah  diwujudkan  agar  masalah  mereka  dapat  dikesan  pada  peringkat  awal  lagi.
·         Persekitaran  Yang  Paling  Tidak  Menghadkan (least  restrictive  environment)
Tidak  ada  pengasingan  sekolah  atau  kelas  dalam  memberikan  pendidikan kepada  individu  kurang  upaya.Mereka  boleh  belajar  di  dalam  sekolah  awam  biasa  dan belajar  bersama-sama  pelajar  biasa  di  kelas  biasa. Mereka  ini  mempunyai  hak  untuk  belajar  bersama-sama  dengan  kanak-kanak  yang  sebaya  melalui  pendidikan  yang  dikenali  sebagai  ‘pendidikan  inklusif’.
·         Persekitaran  Yang  Tidak  Mendiskriminasi
Kanak-kanak  ini  dilindungi  daripada  sebarang  elemen  berbentuk  diskriminasi  dalam  menilai  pendidikan  kanak-kanak  ini. Menurut  Yell,M.L  2006, pada  peringkat  awal  penempatan  kanak-kanak  khas  ini, pihak  sekolah  harus  menilai  kebolehan  kanak-kanak  ini  melalui  multidisciplinary  Team (MDT)  yang  terdiri  daripada  pihak  pentadbir, guru, pakar  perubatan  dan  pihak-pihak  lain  untuk  memastikan  bahawa  kanak-kanak  tersebut  memerlukan  penempatan  khas  di  kelas  tersebut  dan  tahap  kebolehan  kanak-kanak  tersebut  akan  dinilai  bersesuaian  akan  dilakukan  oleh  pihak  MDT.
·         Penyediaan  Khidmat  Sokongan  Yang  Berkaitan
Khidmat  sokongan  yang  terpenting  ialah  ibubapa, mereka  berperanan  dalam   merancang  dan  menentukan  perkembangan  pendidikan  anak-anak  mereka. Peranan  mereka  ini  penting  supaya  mereka  dapat  bersama-sama  mengetahui  setiap  maklumat  dan  membolehkan  mereka  membuat  keputusan  bersama  tentang  penilaian  dan  perancangan  yang  dilakukan  oleh  guru. Khidmat  sokongan  yang  pelbagai  pula  akan  berfokus  kepada  PL  94-142.
·         Hak  Ibubapa  yang  Membantah
Ibu  bapa  berhak  bersuara  disebabkan  hubungan  yang  dibina  dengan  pihak  sekolah  dan  para  profesional. Ibu bapa  berhak  mengetahui  semua  maklumat  berkaitan  anak  mereka  dan  membantah  sekiranya  terdapat  maklumat  yang  tidak  tepat.  Menurut  Friend.M  2006, ibu bapa  perlu  dipanggil  untuk  menghadiri  perjumpaan  yang  melibatkan  anak  mereka. Jika  ibu bapa  dan  pihak  sekolah  tidak  bersetuju  dengan  apa  yang  telah  dilakukan  terhadap  kanak-kanak  khas  ini, mereka  boleh  membantah  dan  berbincang  terutama  bagaimana  mereka  boleh  terlibat  sama  dalam  mengendalikan  anak-anak  mereka  di  sekolah.
·         Pendidikan  yang  Sesuai (Rancangan  Pendidikan  Individu)
Rancangan  Pendidikan  Individu  (RPI)  bermula  di  Amerika  Syarikat  setelah  PL  94-142  digubal  dan  menjadi  akta  yang  dikuatkuasa  dalam  perundangan. Menurut  Strickland  &  Turnbull  antara  komponen  yang  seharusnya  ada  tercatat  dalam  PL  94-142  adalah  seperti  berikut:
1.    Tahap  pencapaian  pendidikan  murid  yang  terkini.
2.    Matlamat  tahunan  atau  pencapaian  yang  diharapkan  pada  akhir  tahun.
3.    Objektif  jangka  pendek  dinyatakan  dalam  bentuk  pembelajaran  mengikut  langkah-langkah  berurutan  hingga  membawa  kepada  penguasaan  matlamat  tahunan.
4.    Jenis  pendidikan  khas  yang  perlu  disediakan  untuk  murid.
5.    Jenis  perkhidmatan  berkaitan (jika  perlu)  yang  akan  disediakan  untuk  murid.
6.    Jangka  masa  murid  akan  terlibat  di  dalam  program  aliran  biasa.
7.    Ketetapan  tarikh  memulakan  perkhidmatan  dan  jangka  masa  perkhidmatan.
Kriteria  penilaian  objektif  yang  bersesuaian, prosedur  penilaian, dan  jadual  menentukan  pencapaian  dan  penguasaan  objektif  jangka  pendek  diadakan  sekurang-kurangnya  setahun  sekali.



            Masalah  pendengaran  merupakan  ancaman  utama  kepada  proses  komunikasi  serta  kehidupan  peribadi  dan  sosial  seseorang  individu. Ketidakupayaan  dalam  mendengar  seperti  muzik, lagu, bunyi  dan  bahasa  akan  meyebabkan  masalah  psiko-sosial  yang  akan  memberi  kesan  kepada  fungsi  dan  kualiti  kehidupan  seharian.

3.1. Punca
            Kanak-kanak  yang  pekak  dan  mengalami  masalah  pendengaran  bukan  daripada  satu  kumpulan  yang  sama  walaupun  mereka  ini  mengalami  masalah  pendengaran. Ini  kerana  tahap  kehilangan  pendengaran, jenis  kehilangan  dan  sebab  kehilangan  pendengaran  adalah  berbeza. Seperti  yang  kita  ketahui, masalah  pendengaran  ini  boleh  berpunca daripada  sebelum  lahir, semasa  dan  selepas  lahir.
            Artikel  yang  kami  pilih  ini  menerangkan  tentang  kanak-kanak  yang  berada  di  Gaza  kebanyakannya  disahkan  pekak  kerana  kesan  daripada  peperangan. Bunyi  letupan  bom  yang  kuat  mengakibatkan  kebanyakan  kanak-kanak  ini  pekak. Oleh  itu, dapatlah  kita  tahu  bahawa  punca  kanak-kanak  tersebut  pekak  disebabkan  oleh  bunyi  letupan  yang  kuat  dan  telah  mengakibatkan  koklea  telinga  mereka  rosak  kesan  daripada  bunyi  letupan  bom  Israel  yang  melakukan  serangan  berterusan  ke  atas  bandar  di  mana  kanak-kanak  ini  tinggal.
            Menurut  Hallahan  dan  Kaufman  (1997), terdapat  beberapa  punca  kecacatan  diperolehi  iaitu  sebelum  kelahiran, semasa  kelahiran  dan  selepas  kelahiran. Punca  kecacatan  selepas  lahir  ialah  kerana  disebabkan  oleh  mendapat  penyakit  yang  disebabkan  oleh  bakteria  dan  virus. Seterusnya  disebabkan  oleh  kemalangan  yang  mencederakan  bahagian  telinga  serta  terdedah  kepada  bunyi  yang  terlalu  kuat.
            Oleh  itu, dapatlah  kita  ketahui  bahawa  kanak-kanak  di  Gaza  ini  kehilangan  pendengaran  selepas  dilahirkan. Faktor  yang  mengakibatkan  mereka  kehilangan  pendengaran  ialah  disebabkan  oleh  terdedah  kepada  bunyi  letupan  bom  yang  kuat. Bunyi  yang  terlalu  kuat  mengakibatkan  telinga  kita  mendapat  kejutan  dan  kerosakan  koklea  akan  berlaku  disebabkan  bunyi  yang  kuat  tersebut  seperti  analisis  yang  dibuat  berdasarkan  artikel.
            Menurut  kajian, bunyi  yang  sangat  kuat  boleh  mengakibatkan  seseorang  individu  itu  mati  kerana  tekanan  daripada  lagu   ataupun  bunyi  yang  kuat  tersebut. Sekiranya  bunyi  yang  kuat  boleh  mengakibatkan  kematian, maka  bunyi  letupan  bom  yang  kuat  sudah  tentu  boleh  mengakibatkan  seseorang  itu  pekak  dan  tidak  boleh  mendengar.
            Kehilangan  pendengaran  selepas  lahir  ini  jarang  dialami  oleh  seseorang  individu  kerana  kebanyakan  puncanya  dapat  kita  elakkan. Namun  masih  ada  sesetengah  individu  yang  akan  berisiko  untuk  kehilangan  pendengaran  sekiranya  mereka  tidak  menjaga  kesihatan  telinga  mereka  dengan  baik.

3.2. Ciri-ciri  fizikal
Dari  segi  fizikal, kanak-kanak  bermasalah  pendengaran  ini  biasanya  tidak  mempunyai  masalah. Malah  mereka  ini  sering  dianggap  seperti  kanak-kanak  normal  yang  lain. Aspek  yang  membezakan  kanak-kanak  tersebut  hanyalah  dari  aspek  komunikasi  sahaja. Kekurangan  pendengaran  menyebabkan  kanak-kanak  sukar  menguasai  bahasa  dan  pertuturan.
            Ciri-ciri  fizikal  tidak  dapat  dijelaskan  dengan  begitu  terperinci  melalui  artikel  tersebut. Namun  melalui  analisis  yang  dibuat, kanak-kanak  ini  merupakan  kanak-kanak  yang  normal, tetapi  kerana  peperangan  yang  berlaku  di  negara  mereka  telah  mengakibatkan  mereka  kehilangan  pendengaran. Kanak-kanak  yang  bermasalah  pendengaran  biasanya   memiliki  tubuh  badan  dan  ciri-ciri  fizikal  yang  normal  dan  tidak  menghidapi  banyak  masalah  apalagi  bagi  kanak-kanak  yang  kehilangan  pendengaran  selepas  kelahiran. Oleh  itu, ciri-ciri  fizikal  kanak-kanak  tersebut  ialah  sama  seperti  kanak-kanak  normal  yang  lain.
            Tubuh  kanak-kanak  ini  berkemungkinan  bertubuh  yang  besar  kerana  jika  dilihat  kepada  tubuh  kanak-kanak  di  Gaza, mereka  mempunyai  tubuh  yang  besar  mungkin  disebabkan  oleh  faktor  baka  dan  keturunan. Namun, tidak  dapat  kita  nafikan  sekiranya  kanak-kanak  ini  mempunyai  tubuh  yang  kecil  dan  kurus. Ini  kerana  peperangan  yang  berlaku  di  negara  mereka  menyebabkan  kanak-kanak  di  sana  kekurangan  zat  makanan  yang  sihat  dan  kualiti  makanan  yang  tidak  baik. Aspek  pemakanan  juga  banyak  mempengaruhi  kepada  pertumbuhbesaran  kanak-kanak. Sekiranya  kanak-kanak  mendapat  makanan  yang  tidak  cukup  zat, maka  ianya  akan  mempengaruhi  pertumbuhbesaran  mereka  dan  sifat  fizikal  mereka.

3.3. Aspek  kognitif           
Perkembangan  kognitif  merujuk  kepada  bagaimana  kanak-kanak  memahami  dan  mengurus  dunia  mereka. Ini  termasuk  kemahiran  menaakul, menyimpan  dan  mengingati  maklumat, klasifikasi  benda-benda, mendefinisikan, menerangkan, menilai, membanding  dan  mengasing, mencipta  dan  menyelesaikan  masalah  dan  sebagainya.
            Kehilangan  pendengaran  ini  juga  memberi  kesan  kepada  proses  perkembangan  bahasa, pencapaian  akademik  dan  psikologi  mereka  terjejas. Peperangan  di  Gaza  ini  merupakan  satu  peperangan  yang  sangat  ngeri  dan  menakutkan. Peperangan  ini  berlarutan  selama  bertahun-tahun  dan  telah  ramai  kanak-kanak  yang  menjadi  mangsa  di  dalam  peperangan  ini. Peperangan  yang  tidak  tahu  di  mana  penghujungnya  mengakibatkan  kebanyakan  sekolah  di  negara  ini  musnah. Oleh  itu, kanak-kanak  di  negara  ini  tidak  mempunyai  peluang  untuk  ke  sekolah  dan   belajar  seperti  kanak-kanak  sebaya  mereka  di  negara  lain.
            Perkembangan  kanak-kanak  bermasalah  pendengaran  ini  bergantung  kepada  tahap  kehilangan  pendengaran  dan  umur  semasa  kehilangan pendengaran. Kanak-kanak  yang  mengalami  pendengaran  biasanya  akan  menghadapi  masalah  dalam  pembelajaran. Kesan  daripada  masalah  di  telinga  kanak-kanak  ini  akan  menyebabkan  kanak-kanak  bermasalah  dalam  pertuturan, kemahiran  mendengar, tingkah  laku, kebolehan  membaca  dan  pencapaian  amnya  di  sekolah. Masalah  yang  paling  ketara  berkaitan  dengan  kesan  daripada  masalah  pendengaran  ini  ialah  kebolehan  kanak-kanak  berkomunikasi  dan  kemahiran  lisan  dalam  membaca  dan  menulis.
            Bagi  kanak-kanak  di  Gaza  ini, perkembangan  kognitif  mereka  sangat  terbatas. Jika  di  Malaysia, kanak-kanak  yang  mempunyai  masalah  pendengaran  boleh  melanjutkan  pelajaran  sehingga  ke  menara  gading,namun  tidak  bagi  kanak-kanak  di  negara  mereka. Sekolah  yang  telah  musnah, sistem  perhubungan  serta  tidak  mempunyai  rangkaian  maklumat  yang  membolehkan  mereka  mengembangkan  pengetahuan  mereka  kerana  semuanya  telah  musnah  akibat  peperangan  menyukarkan  mereka  mencari  ilmu  seperti  orang  lain.

3.4.Emosi
Emosi  boleh  didefinisikan  sebagai  satu  perasaan  afektif  yang  dialami  oleh  seseorang  individu  dalam  sesuatu  keadaan  yang  memberi  makna  kepada  dirinya. Emosi  ini  boleh  dating  dalam  bentuk  gembira, sedih, takut, marah  dan  lain-lain. Tahap  emosi  ini  juga  boleh  dinilai  berdasarkan  kelas  sebagai  emosi  negatif  seperti  marah, sedih, takut  dan  emosi  positif  seperti  gembira, teruja  dan  girang.
Dari  aspek  emosi  pula, trauma  yang  teruk  mengakibatkan  kanak-kanak  ini  mengalami  masalah  emosi  dan  menyebabkan  mereka  tidak  boleh  bertutur. Perkembangan  emosi  kanak-kanak  banyak  bergantung  kepada  pengalaman  mereka, cara  layanan  yang  diterima  dan  melalui  perkembangan  mereka  sendiri  bagi  membolehkan  mereka  meluahkan  perasaan  mereka, kehendak, keperluan  dan  memahami  perasaan  orang  lain.
            Apabila  kanak-kanak  ini  tidak  diterima  baik  oleh  rakan-rakan  sekeliling  diakibatkan  oleh  masalah  yang  mereka  alami, ini  akan  membawa  kepada  masalah  yang  lain  seperti  masalah  emosi. Sekiranya  mereka  tidak  diterima  oleh  rakan-rakan  yang  lain, kanak-kanak  ini  akan  merasa  tersisih  dan  rasa  rendah  diri  mengakibatkan  emosi  mereka  terganggu. Kanak-kanak  ini  akan  menganggap  kekurangan  yang  ada  dalam  dirinya  tersebut  menghalang  dia  daripada  mendapat  perhatian  daripada  rakan-rakan  dan  orang  sekeliling. Dia  menganggap  tiada  siapa  yang  akan  mendengar  luahannya  hanya  kerana  dia  tidak  boleh  mendengar  dan  bercakap.
            Situasi  kanak-kanak  di  Gaza  ini  pula  berbeza  dengan  kanak-kanak  yang  menghadapai  masalah  pendengaran  di  negara  yang  tidak  berperang. Kanak-kanak  di  Gaza  ini  mengalami  trauma  yang  teruk  mengakibatkan  mereka  tidak  boleh  bertutur. Ketakutan  yang  masih  melanda  diri  mereka  membuatkan  kanak-kanak  ini  kehilangan  kata-kata  dan  tidak  mahu  berkongsi  perasaan  dan  masalah  yang  mereka  hadapi  bersama  orang  lain.
            Kanak-kanak  di  Gaza  ini  tidak  mengalami  masalah  pertuturan  yang  kekal, mereka  tidak  boleh  bercakap  kerana  disebabkan  oleh  trauma  yang  teruk. Namun  hasil  daripada  usaha  sukarelawan  yang  bertugas  di  sana  serta  NGO  Gaza, kanak-kanak  yang  mengalami  trauma  teruk  sehingga  membawa  masalah  kepada  pertuturannya  itu  kini  sudah  boleh  bercakap. Oleh  itu, dapatlah  kita  fahami  bahawa  sesetengah  kanak-kanak  sebenarnya  bukan  tidak  boleh  bertutur, tetapi  masalah-masalah  ataupun  akibat  daripada  sesuatu  trauma  telah  menjejaskan  pertuturan  mereka.
            Emosi  yang  dialami  oleh  kanak-kanak  ini  merupakan  emosi  negatif  kerana  telah  mengakibatkan  kepada  masalah  trauma  yang  teruk. Luahan  emosi  ini  juga  akan  memberi  impak  kepada  hubungan  kanak-kanak  dengan  orang  lain  di  sekeliling  mereka  termasuk  juga  dengan  keluarga  mereka  sendiri.

            Contoh  yang  dapat  kita  lihat  ini  seperti  ketakutan  yang  amat  teruk  telah  mengganggu  emosi  kanak-kanak  sehingga  mereka  tidak  mahu  bercakap  kerana  asyik  memikirkan  keselamatan  mereka  serta  ketakutan  mereka  terhadap  peperangan  yang  berlaku.
            Salah  satu  kanak-kanak  yang  mempunyai  masalah  pertuturan  disebabkan  trauma  yang  dihadapi  merupakan  seorang  kanak-kanak  yang  berumur  6  tahun. Kanak-kanak  tersebut  mengalami  trauma  yang  teruk  kerana  ketakutan  yang  dihadapi  kerana  peperangan. Kanak-kanak  pada  umur  sekitar  6-8  tahun  biasanya  sering  mengalami  keresahan  dan  ketakutan  apabila  menghadapi  orang  yang  tidak  dikenali, apatah  lagi  mengalami  keadaan  seperti  peperangan  yang  melibatkan  senjata  api. Ketakutan  mereka  akan  menjadi  lebih  teruk  dan  ketakutan  yang  dialami  menyebabkan  mereka  tidak  mahu  bercakap  dengan  orang  lain.

3.5. Aspek  sosial
Seterusnya  dari  aspek  sosial.  Menurut  Lynas  1986, masalah  dalam  memperolehi  hubungan  sosial  yang  baik  antara  kanak-kanak  normal  dengan  kanak-kanak  bermasalah  pendengaran  berpunca  daripada  kanak-kanak  bermasalah  pendengaran  yang  kurang  kemahiran  dalam  menyesuaikan  diri.
            Namun  di  dalam  situasi  yang  dihadapi  oleh  kanak-kanak  di  Gaza  ini, hubungan  sosial  mereka  terbatas  kerana  ketakutan  yang  mereka  alami. Mereka  tidak  dapat  bersosial  seperti  kanak-kanak  biasa  kerana  mereka  harus  sentiasa  berwaspada  kerana  serangan  akan  berlaku  bila-bila  masa  sahaja. Oleh  itu, mereka  lebih  menjaga  diri  sendiri  berbanding  pergi  bersosial  bersama  rakan-rakan  yang  lain.
            Letupan  bom  mengakibatkan  kerosakan  kepada  koklea  telinga. Kesan  daripada  kerosakan  tersebut, kanak-kanak  tidak  dapat  mendengar  dengan  baik. Perkembangan  kanak-kanak  yang  bermasalah  pendengaran  bergantung  kepada  umur  kanak-kanak  tersebut  ketika  kehilangan  pendengaran. Kanak-kanak  tersebut  akan  mengalami  gangguan  dalam  perkembangan  bahasa. Kelambatan  tersebut  akan  mengganggu  kepada  proses  perkembangannya  supaya  menjadi  lebih  luas  seperti  penyesuaian  social  dan  kematangan  emosi.
            Pekak  bukan  sahaja  memberi  kepada  kesan  kekurangan  dalam  input  sensori  malah  mengganggu  dalam  interaksi  serta  hubungan  antara  orang  dewasa  dan  kanak-kanak (Wood  1982).
            Pengalaman  awal  kanak-kanak  mempengaruhi  aspek  sosial  dan  bahasa  kanak-kanak. Bahasa  adalah  perkara  penting  dalam  hidup  kita. Bahasa  membolehkan  kita  berkomunikasi  dengan  orang  lain, berkongsi  maklumat, meluahkan  perasaan  dan  sebagainya. Bagi  kanak-kanak  di  Gaza  ini, pengalaman  awal  mereka  sangat  kurang  disebabkan  peperangan. Oleh  itu, mereka  memerlukan  bantuan  orang  yang pakar  dalam  bidang  ini. Sokongan  patologi  pertuturan  amat  penting  dalam  mengajar  mereka. Patologi  pertuturan  ini  menggunakan  komunikasi  seluruh  yang  menggabungkan  bahasa  isyarat  dan  pertuturan. Namun  disebabkan  kos  yang  dikenakan  bagi  membantu  kanak-kanak  yang  bermasalah  dalam  pendengaran  ini  sangat  tinggi, ahli  sukarelawan  di  Gaza  ini  menggunakan  kemahiran  mereka  sendiri  dalam  membantu  kanak-kanak  di  sana  supaya  dapat  berkomunikasi  bersama  orang  di  sekeliling  mereka.
            Peperangan  dan  masalah  pendengaran  yang  dihadapi  menghadkan  perkembangan  sosial  kanak-kanak  di  Gaza. Mereka  yang  hanya  tinggal  di  satu  tempat  perlindungan  sahaja  membuatkan  mereka  tidak  dapat  melihat  dunia  luar. Mereka  tidak  dapat  bersosial  seperti  kanak-kanak  di  negara  lain  yang  tidak  berperang. Mereka  hanya  berlindung  dan  tidak  tahu  ingin  melakukan  apa-apa  dan  cuma  berserah  kepada  takdir  tentang  masa  hadapan  di  dalam  hidup  mereka.

3.6. Tingkah  Laku
            Tingkah  laku  kanak-kanak  yang  bermasalah  pendengaran  ini  biasanya  suka  mengasingkan  diri. Mereka  menganggap  diri  mereka  tidak  dihargai  kerana  kekurangan  yang  dihadapi. Mereka  lebih  suka  bersendirian  berbanding  berkelompok  dengan  kumpulan  kanak-kanak  normal  yang  lain. Namun, kanak-kanak  ini  masih  boleh  berkumpulan  dengan  rakan-rakan  yang  mempunyai  masalah  yang  sama  dengannya.
            Situasi  yang  dihadapi oleh  kanak-kanak  di  Gaza  ini  mengakibatkan  tingkah  laku  mereka  berbeza  dengan  kanak-kanak  lain. Kanak-kanak  ini  sentiasa  berada  di  sisi  orang  tua  mereka  dan  dalam  keadaan  takut. Kanak-kanak  ini  kurang   bergembira  kerana  mereka  sedar  mereka  bukan  di  dalam  keadaan  yang  selamat. Tingkah  laku  mereka  ini  tidak  begitu  aktif  kerana  mereka  risau  akan  keselamatan  diri  mereka.
            Tingkah  laku  luaran  kanak-kanak  ini  sama  dengan  kanak-kanak  yang  lain, ada  masanya  mereka  akan  cuba  untuk  bermain  dengan  rakan-rakan  lain  yang  berhampiran  sekiranya  mereka  merasa  bahawa  mereka  berada  di  dalam  keadaan  yang  selamat. Mereka  akan  cuba  untuk  berkomunikasi  dengan  orang  lain  dan  melakukan  aktiviti  biasa  seperti  kanak-kanak  biasa  yang  lain.
            Tingkah  laku  luaran  bagi  kanak-kanak  dalam  situasi  di  atas, mereka  lebih  mendengar  nasihat  dan  arahan  orang  tua  mereka  kerana  mereka  menganggap  apa  yang  dinasihatkan  oleh  orang  tua  mereka  adalah  benar  dan  untuk  kebaikan  mereka  apatah  lagi  situasi  mereka  sekarang  yang  berada  di  dalam  keadaan  yang  tidak  selamat.
            Tingkah  laku  dalaman  bagi  kanak-kanak  di  Gaza  ini  pula  ialah  kanak-kanak  yang  bermasalah  pendengaran  di  Gaza  ini  akan  mempamerkan  tingkah  laku  yang  biasa  dilakukan  oleh  kanak-kanak  yang  bermasalah  pendengaran  yang  lain. Kanak-kanak  yang  bermasalah  pendengaran  dan  secara  lansung  menghadapai  masalah  emosi  seperti  situasi  yang  di  atas  biasanya  akan  mengasingkan  diri  mereka  daripada  orang  lain. Mereka  lebih  selesa  bersendirian  melayan  perasaan  berbanding  bersosial  dengan  individu  lain. Mereka  akan  selalu  berfikiran  negative  terhadap  orang  lain  kerana  mereka  tidak  boleh  mendengar, oleh  itu  mereka  akan  menganggap  orang  di  sekeliling  mengata  diri  mereka  serta  mentertawakan  tentang  kekurangan  yang  mereka  miliki.
            Oleh  itu, dapatlah  kita  fahami  bahawa  kanak-kanak  yang  mengalami  masalah  pendengaran  secara  normal  seperti  mengalaminya  sebelum  kelahiran  iaitu  faktor  pemakanan  ibu, hentakan  yang  kuat  seperti  terjatuh  dari  buaian  berbeza  dengan  apa  yang  dialami  oleh  kanak-kanak  yang  hilang  pendengaran  ketika  selepas  kelahiran  disebabkan  oleh  bunyi  letupan  yang  kuat  ketika  perang. Emosi  kanak-kanak  ini  terganggu  kerana  trauma  yang  teruk. Mereka  ini  juga  tidak  boleh  bercakap  disebabkan  ketakutan  yang  teramat  dan  bukan  kerana  kemalangan  yang  dihadapi.






















No comments:

Post a Comment