Tuesday, 18 February 2014

FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PERKEMBANGAN KANAK-KANAK

1      FAKTOR-FAKTOR  YANG  MEMPENGARUHI  PERKEMBANGAN  KANAK-KANAK

Perkembangan  ini  berlaku  hasil  daripada  pembelajaran. Perkembangan  bersifat  kualitatif  iaitu  tidak  dapat  diukur  tetapi  dapat  dilihat  perubahan  dalam  diri  seseorang  individu  melalui  pengujian. Perkembangan  melibatkan  kognitif  seseorang  individu  contohnya, seorang  kanak-kanak  akan  mula  mengenal  huruf,kemudian  boleh  membaca,menulis  dan  sebagainya. Proses  perkembangan  ini  adalah  berterusan  sepanjang  hayat  dan  akan  melalui  peringkat-peringkat   kematangan  tertentu. Perkembangan  ini  dipengaruhi  oleh  baka  dan  persekitaran.
            Teori  perkembangan  kognitif  Jean  Piaget  mentafsirkan  bahawa  proses  pemikiran  kita  berubah  secara  menyeluruh  bermula  selepas  lahir  sehingga  kita  mencapai  kematangan. Setiap  individu  akan  sentiasa  mencuba  untuk  memahami  dan  mengadaptasi  perubahan-perubahan  yang  berlaku  di  persekitaran  mereka.
            Teori  Vygotsky  pula  percaya  bahawa  perkembangan  kognitif  individu  berlaku  dalam  persekitaran  sosio  budaya  yang  mempengaruhi  tingkahlaku  dan  pemikiran  individu. Beliau  memberi  penekanan  di  mana  peranan  sosial  dan  budaya  dalam  perkembangan  kanak-kanak. Kemahiran  kognitif  kanak-kanak  kebanyakan  dipengaruhi  oleh  aspek  sosial  kanak-kanak  dengan  keluarga, rakan-rakan  dan  persekitarannya.
            Teori  Santrock (2008)  mentafsirkan  perkembangan  sebagai  perubahan  dalam  corak  biologi, kognitif  dan  sosioemosi  individu  yang  bermula  daripada  peringkat  percambahan  hingga  ke  akhir  hayat.
Faktor  perkembangan  kanak-kanak  telah  banyak  diperdebatkan, terdapat  tokoh  yang  menyatakan  baka  adalah  faktor  utama  yang  mempengaruhi  perkembangan, dan  ada  juga  tokoh  yang  menyatakan  persekitaran  adalah  faktor  utama  yang  mempengaruhi  perkembangan  kanak-kanak. Namun, sehingga  hari  ini  belum  ada  kata  putus  yang  menyatakan  apakah  faktor  utama  yang  memprngaruhi  perkembangan  kanak-kanak.Ini  sebenarnya  kerana  kedua-dua  faktor  tersebut  saling  berkait  rapat  dengan  proses  perkembangan  kanak-kanak.
            Baka  merupakan  ciri-ciri  yang  berkaitan  dengan  biologi  ataupun  gen-gen  yang  diwarisi  daripada  ibu  bapa  kepada  anak-anaknya. Tingkahlaku  yang  kita  warisi  daripada  ibu  bapa  diturunkan  di  dalam  gen-gen  ini. Faktor  baka  dan  genetik  mempengaruhi  pertumbuhan  dan  perkembangan  kanak-kanak, contohnya  saiz  badan, warna  rambut, ketinggian  dan  lain-lain.
            Persekitaran  pula  merangkumi  segala  pengalaman  yang  dialami  oleh  kanak-kanak, termasuk pengalaman  ketika  berada  di  rumah, bersama  jiran  dan  bersama  rakan  sebaya. Sebelum  kanak-kanak  dilahirkan, mereka  juga  mengalami  pengalaman  di  alam  sebelum  dilahirkan  ke  bumi. Pengalaman  sebelum  dilahirkan  merangkumi  cara  pemakanan  ibu  serta  gaya  hidup  ibu  ketika  sedang  mengandung. Sekiranya  seseorang  ibu  itu  mengamalkan  sikap  yang  suka   merokok, berkemungkinan  besar  bayi  yang  dilahirkan  merupakan  bayi  pramatang. Sikap  dan  emosi  yang  dialami  ibu  semasa  mengandung  juga  mempengaruhi  tingkahlaku  bayi  yang  bakal  dilahirkan. Selain  itu, faktor  yang  mempengaruhi  pengalaman kanak-kanak  juga  dipengaruhi  oleh  pemakanan,persekitaran  di sekolah, masyarakat,sosio ekonomi, tahap pendidikan  keluarga, media  dan  persekitaran  dunia.

2     ANALISIS  INDIVIDU
Selepas  mengenalpasti  situasi  Farid  dan  Rizal,dapatlah  dinyatakan  bahawa  persekitaran  banyak  mempengaruhi   kepada  perkembangan  kedua-dua  kanak-kanak  tersebut.

2.1.        Rizal
            Berdasarkan  senario  yang  diberikan, Rizal  berasal  daripada  golongan  keluarga  yang  sederhana  dan  dia  tinggal  di  kawasan  perumahan. Rizal  juga  seorang  yang  aktif, periang, suka  bergaul  dan  suka  menyampuk  ketika  guru  sedang  mengajar. Rizal  juga  akan  mendengus  dan  bermasam  muka  apabila  dimarah. Malah  dia  akan  melepaskan  geramnya  akibat  dimarah  oleh  guru  kepada  rakan  yang  duduk  berhampiran  dengannya. Tidak  puas  dengan  itu, dia  akan  menjawab  dengan  suara  yang  kuat. Rizal  seorang  pelajar  yang  suka  bekerja  secara  berkumpulan  dan  tidak  memberi  peluang  kepada  murid  lain  untuk  memberi  pendapat. Dia  juga  merupakan  seorang  pelajar  yang  gopoh  dan  selalu  berharap  untuk  menyiapkan  tugasan  dengan  cepat. Oleh  kerana  sikapnya  itu, dia  kerap  tidak  dapat  menyiapkan  tugasan  yang  diberikan  dan  ketinggalan  ke  belakang  berbanding  dengan  kawan-kawannya  yang  lain. Selain  itu, dia  selalu  membuat  kesilapan  di  dalam  jawapannya. Ketika  berada  di  rumah, Rizal  seorang  yang  kurang  bercakap, malas  dan  suka  menonton  filem  yang  aksi.
            Rizal  mempunyai  dua  identiti  di  mana  ketika  berada  di  rumah, dia  akan  menjadi  seorang  yang  kurang  bercakap.Perkara  ini  berkemungkinan  kerana  dia  seorang  anak  tunggal  dan  ibubapanya  kurang  berinteraksi  dengannya.Ibu  bapa  Rizal  mungkin  terlalu  sibuk  dan  tidak  mempunyai  masa  untuk  bercerita  dengannya.  Sikap  Rizal  ini  juga  berkemungkinan  disebabkan  oleh  pengaruh  media. Rizal  seorang  kanak-kanak  yang  suka  menonton  televisyen, seperti  yang  kita  tahu  kanak-kanak  lebih  mudah  terpengaruh  dengan  adegan-adegan  yang  mereka  tonton  di  televisyen  kerana  mereka  tidak  dapat  membezakan  perkara  yang  baik  ataupun  buruk  ketika  awal  kanak-kanak.Ini  juga  mungkin  disebabkan  dia  tidak  suka  bergaul  dengan  ibu  bapanya  yang  difikirkan  lebih  matang  darinya  dan  ketika  bercerita, dia  tidak  diendahkan  oleh  ibubapanya.
Dari  segi  emosi  Rizal  ini  menunjukkan  bahawa  dia  tidak mempunyai  kemahiran  dalam  mengurus  serta  mengawal  emosinya.  Rizal  seorang  kanak-kanak  yang  cepat  mendengus  dan  bermasam  muka  apabila  dimarah, situasi  ini  menunjukkan  sikap  manja  dalam  diri  Rizal  yang  tidak  suka  dimarah. Ketika  berada  di  rumah  pula  Rizal  seorang  kanak-kanak  yang  kurang  bercakap, malas  dan  asyik  menonton  filem  aksi. Sikap  Rizal  yang  suka  menonton  filem  aksi  mempengaruhi  tingkahlakunya  di  sekolah. Mungkin  Rizal  tidak  pernah  diberi  nasihat  atau  didikan  cara  menghormati  orang  yang  lebih  tua  oleh  ibu   bapanya. Ibu  bapanya  yang  sibuk  bekerja  kemungkinan  tidak  mempunyai  masa  untuk  melayan  karenahnya  dan  jarang  bercerita  dengannya  dan  hanya  membiarkannya  duduk  di  depan  kaca  televisyen  tanpa  perhatian  dari  orang  tua.
Dari  segi  sosial, Rizal  seorang  murid  yang  ingin  menguasai  semua  yang  ada  di  sekelilingnya. Sikap  Rizal  ini  dapat  dikaitkan  di  dalam  teori  perkembangan  psikososial  Erik  Erikson yang  terdapat  dalam  lapan  peringkat. Rizal  di  dalam  teori  ini  berada  di  peringkat  ke  3  iaitu   “Industri  Lawan  Rasa  Rendah  Diri”, di  mana  pada  peringkat  ini  kanak-kanak  sudah  berada  di  alam  persekolahan. Kanak-kanak  pada  peringkat  ini  berada  dalam  lingkungan  6  hingga  11  tahun, di mana  mereka perlu  menguasai  kemahiran-kemahiran  yang  tertentu  di  alam  persekolahan, sekiranya  mereka  mengalami  kegagalan, kegagalan  tersebut  akan  membawa  kepada  rasa  rendah  diri  dalam  diri  mereka. Kanak-kanak  pada  peringkat  ini  akan  melakukan  sesuatu  tugasan  yang  diberi  dengan  penuh  minat.Dalam  situasi  di  atas Rizal  suka  membuat  aktiviti  dalam  kumpulan  dan  selalu  tidak  sabar  dalam  perbincangan.Hubungan  sosial  Rizal  dengan  rakan-rakan  sekelasnya  tidak  terjalin  dengan  begitu  baik, ini  kerana  Rizal  tidak  memberi  rakan-rakannya  peluang  untuk  menyumbangkan  pendapat  di  dalam  aktiviti  kumpulan.
Walaupun  Rizal  seorang  yang  banyak  bercakap  dan  aktif, aspek  kognitifnya  adalah  sedikit  lemah. Rizal  selalu  membuat  kesilapan  dalam  jawapannya. Ini  mungkin  disebabkan  cara  Rizal  mentafsirkan  soalan  yang  diberi  kurang  kreatif  berbanding  rakan-rakannya  yang  lain. Sikapnya  yang  hanya  ingin  kerjanya  siap  cepat  dan  gopoh  juga  merupakan  salah  satu  faktor  yang  menyebabkan  akademiknya  lemah. Dia  juga  mungkin  seorang  murid  yang  masih  belum  dapat  membaca  dan  menulis  dengan  baik  kerana  dia  seorang  yang  malas  dan  dia  banyak  menghabiskan  masanya  menonton  adegan-adegan  aksi  dan  tidak  bersifat  akademik.

2.2.        Farid
            Berbeza  dengan  Rizal, Farid  seorang  pelajar  berlatarbelakangkan  keluarga  yang  kurang  berkemampuan. Farid  tinggal  di  flat  bersama  ibu  dan  lima  orang  adik  beradiknya. Ayahnya  pula  telah  meninggal  dan  ini  menyebabkan  Farid  sentiasa  kelihatan  sedih  ketika  berada  di  kelas. Farid  seorang  murid  yang  pendiam, pasif  dan  tidak  suka  bergaul. Dia  tidak  suka  memberikan  pendapat  di  dalam  kelas  melainkan  apabila  ditanya  oleh  gurunya  sahaja. Ketika  melakukan  aktiviti  berkumpulan, Farid  hanya  akan  memerhatikan  rakan-rakannya  berbincang  tentang  kerja  yang  diberikan.Namun  begitu, pencapaian  akademik  Farid  lebih  baik  berbanding  rakan-rakannya  yang  lain  walaupun  dia  tergolong  daripada  keluarga  yang  kurang  berkemampuan. Farid  seorang  murid  yang  suka  membaca  disebabkan  itulah  pencapaian  akademiknya  baik. Farid  juga  seorang  pelajar  yang  patuh  pada  arahan.Walaupun  Farid  seorang  yang  pendiam,  dia  juga  akan  bergaul  dengan  rakan-rakannya  terutamanya  tinggal  berdekatan  di  rumahnya. Selain  itu, Farid  juga  seorang  murid  yang  bertanggungjawab, dia  selalu  membantu  ibunya  di  rumah  seperti  mengurus  rumah  dan  memasak.
            Emosi  merupakan  satu  perasaan  afektif  yang  dialami  oleh  individu  dalam  sesuatu  keadaan  yang  memberi  makna  kepada  dirinya. Emosi  boleh  dilihat  dalam  bentuk  gembira,sedih,takut,marah  dan  lain-lain. Dari  segi  emosi, Farid  merupakan  seorang  murid  yang  sabar  dan  tabah  dalam kehidupannya. Menurut  Piaget, terdapat  empat  faktor  yang  saling  berkait  rapat  yang  boleh  mempengaruhi  proses  pemikiran  individu  iaitu  kematangan  biologi, interaksi  individu  dengan  persekitaran, pengalaman  sosial  dan  keseimbangan.
Proses  pemikiran  Farid  tidak  sama  seperti  kanak-kanak  yang  seumur  dengannya, ini  kerana  Farid  lebih  berfikiran  matang  dan  seorang  anak  yang  bertanggungjawab  ketika  usia  yang  masih  muda. Sikap  Farid  ini  dipengaruhi  oleh  faktor  persekitaran  di  mana  dia  sedar  bahawa  kehidupan  keluarganya  yang  kurang  berkemampuan  dan  memerlukan  dia  untuk  bertanggungjawab  terhadap  keluarga  sebagai  anak  sulung  dalam  adik-beradiknya. Contohnya, walaupun  Farid  masih  berada  di  sekolah  rendah, dia  sudah  tahu  tanggungjawabnya  sebagai  seorang  anak sulung  dan  abang  kepada  adik-adiknya. Dia  selalu  menolong  ibunya  membuat  kerja  di  rumah  seperti  memasak  dan  mengemaskan  rumah. Sikap  Farid  ini  mungkin  mewarisi  gen  yang  dominan  daripada  ibunya, ini  kerana  ibu  Farid  seorang  yang  tabah  dan  bertanggungjawab  terhadap  anak-anaknya  walaupun  telah  kehilangan  suami.
Farid  bijak  mengawal  emosinya, walaupun  dia  selalu  kelihatan  sedih  ketika  berada  di  kelas, tetapi  dia  masih  dapat  memiliki  keputusan  yang  baik  dalam  akademiknya. Sejak  ayah  Farid  meninggal  dunia, dia  selalu  kelihatan  sedih  terutamanya  ketika  berada  di  kelas. Sikap  Farid  yang  selalu  berdiam  diri  ketika  berada  di  kelas    menyebabkan  dia  selalu  teringatkan  arwah  ayahnya. Namun  begitu  dia  tetap  dapat  bermain  dengan  rakan-rakannya  yang  tinggal  berhampiran  dengannya. Farid  dapat  menyesuaikan  diri  dan  perasaannya  mengikut  situasi. Dia  tidak  menunjukkan  perasaan  sedihnya  di  hadapan  rakan-rakannya  ketika  bermain. Farid  juga  dapat  mengadaptasikan  keseimbangan  perasaannya  mengikut  situasi-situasi  yang  dialami. Dapatlah  dilihat  bahawa  emosi  Farid  berada  dalam  tahap  yang  baik  kerana  dia  tidak  menyendiri  hanya  untuk  melayan  perasaan  sedihnya,tetapi  dia  masih  dapat  bersosial  bersama  rakan-rakannya.
            Menurut  Vygotsky, perkembangan  kognitif  individu  berlaku  dalam  dua  peringkat  iaitu  peringkat  sosial  dan  peringkat  individu  yang  lebih  bersifat  peribadi. Peringkat  perkembangan  sosial  ialah  di  mana  maklumat  atau  pengetahuan  individu  diperolehi  melalui  interaksi  individu  dengan  individu  lain  yang  ada  di  persekitarannya  seperti  keluarga, rakan-rakan,jiran  terdekat  dan  guru-guru. Peringkat  kedua  pula  ialah  peringkat  individu  dan  lebih  kepada  keperibadian. Peringkat  ini  menerangkan  di  mana  individu  boleh  menukar  maklumat  dan  pengetahuan  yang  diperolehi  melalui  interaksi  sosial  kepada  kefahaman  individu  dan  maklumat  tersebut  ditukar  kepada  skemata  individu. Perkembangan  kognitif  dalam  diri  Farid  paling  jelas  dapat  dilihat  di  dalam  peringkat  kedua  iaitu  peringkat  individu  yang  lebih  bersifat  keperibadian. Farid  kurang  berinteraksi  dengan  orang  lain, sikap  Farid  dapat  dilihat  ketika  berada  di  dalam  bilik  darjah. Farid  seorang  murid  yang  pendiam  dan  tidak  suka  memberi  pendapat. Dia  hanya  akan  menjawab  sekiranya  ditanya  oleh  cikgunya.
            Perkembangan  sosial  ialah  kemahiran  seseorang  individu  menjalin  perhubungan  sosial  dan  menunjukkan  perlakuan  baik  dan  sesuai  mengikut  norma-norma  masyarakat. Farid  seorang  kanak-kanak  yang  tidak  suka  bersosial, di  hanya  akan  berkawan  dengan  orang  yang  tinggal  berhampiran  dengan  tempat  tinggalnya  sahaja. Farid  tidak  mahir  dalam  berinteraksi, ini  mungkin  disebabkan  rasa  rendah  diri  yang  ada  dalam  dirinya  kerana  dia  bukan  seorang  kanak-kanak  yang  tergolong  di  dalam  keluarga  yang  sosioekonominya  tinggi  dan  pengalamannya  juga  sangat  kurang. Sifat  Farid  ini  dominan  kepada  sifat  introvet, di  mana  dia  lebih  menumpukan  kepada  aspek  dalaman. Farid  merupakan  seorang  yang  pasif, pemalu  dan  kurang  bercakap  terutamanya  ketika  berada  di  dalam  kelas. Dia  juga  suka  berseorangan  sejak  kematian  ayahnya. Farid  datang  daripada  keluarga  yang  sederhana, oleh  sebab  itu, dia  tidak   minat  kepada  kebendaan. Introvet  ini  bermakna  mengambil  berat  tentang  diri  sendiri  dan  mempamerkan  ciri-ciri  individu  yang  pasif,pemalu,sensitif,gemar berseorangan,cermat,reflektif  dan  sentiasa  berfikir  terlebih  dahulu  sebelum  melakukan  sesuatu  kerja. Individu  introvet  juga  seorang  yang  boleh  dipercayai  dan  bersedia  menanggung  risiko.
           
Perbezaan  Individu 
Perbezaan 
Individu
Rizal
Farid
Kognitif
Tidak  dapat  menghabiskan  tugasan  dan  sering  tertinggal  di  belakang.
Suka  membaca  dan  mempunyai  pencapaian  akademik  yang  baik.
Emosi
Tidak  sabar  dan  akan  mendengus, bermasam  muka, serta  melepaskan  perasaan  geram  kepada  rakan.
Sering  kelihatan  sedih  di  dalam  kelas.
Sosial
·         Aktif, periang, suka  bergaul  dan  suka  menyampuk  ketika  guru  sedang  mengajar.
·         Di rumah  kurang  bercakap, malas  dan  asyik  menonton  filem  aksi.
·         Pendiam, pasif  dan  tidak  suka  bergaul.
·         Hanya  bermain  bersama  rakan-rakan  yang  berhampiran  rumahnya  sahaja.
·         Rajin  membantu  ibunya  di  rumah.
·         Patuh  pada  arahan.
Fizikal
-
-
Rohani
-
-


3    Faktor  Perkembangan  Individu
3.1.        Rizal 
 Aspek  Kognitif
Lev  Semenovich  Vygotsky (1896-1934) merupakan  seorang  ahli  psikologi  Russia. Beliau  mendalami  bidang  ilmu  perubatan  dan  kemudian  beralih  kepada  pengajian  undang-undang  dan  pada  masa  yang  sama  mendalami  bidang  kesusasteraan. Vygotsky  percaya  bahawa  perkembangan  kognitif  individu  berlaku  dalam  persekitaran  sosio  budaya  yang  mempengaruhi  tingkahlaku  dan  pemikiran  individu.
Menurut  Vygotsky, pemikiran  kanak-kanak  berkembang  akibat  dari  pergaulan  dengan  orang  lain. Pergaulan  dan  interaksi  yang  bermakna  selalunya  berlaku  antara  kanak-kanak  dengan  individu  yang  lebih  berpengetahuan  darinya.
Menurut  Vygotsky  lagi, kanak-kanak  tidak  dapat  membina  pengetahuannya  sendiri  tanpa  persekitaran. Ia  harus  dibina  melalui  interaksi  sosial  dengan  individu-individu  yang  berada  di  persekitarannya  seperti  ibubapa, adik-beradik, keluarga  terdekat  atau  rakan  sebaya. Individu-individu  akan  bertindak  memberi  arahan, maklum  balas  dan  membimbing  komunikasi  kanak-kanak.
Dalam  situasi  Rizal,dia  seorang  murid  yang  aktif, periang  dan  suka  bergaul. Akan  tetapi  perkembangan  kognitifnya  lebih  banyak  terbentuk  melalui  apa  yang  dilihatnya  di  televisyen. Rizal  tidak  dapat  menyelesaikan  masalah  ketika  melakukan  tugasan  berkumpulan. Sebagai  contoh  ialah  ketika  berada  di  kelas, Rizal  tidak  suka  memberi  peluang  kepada  rakan-rakannya  untuk  mengajukan  pendapat. Siakp  Rizal  ini  dikategorikan  dalam  komponen  Ego  dalam  Teori  Psikososial  oleh  Sigmund  Freud, ini  kerana  sikap  Rizal  yang  menganggap  apa  yang  dikatakannya  itu  benar  dan  dia  memberi  peluang  kepada  rakannya  yang  lebih  berpengetahuan  untuk  memberi  pendapat. Rizal  tidak  tahu  konsep  urutan  seperti  bergilir-gilir  memberi  pendapat.
Komunikasi  antara  Rizal  dan  individu  di  persekitarannya  juga  amat  terhad. Ini  disebabkan  oleh  sikapnya  yang  ego  dan  ingin  menguasai  sesuatu  yang  dianggapnya   perlu  contohnya  aktiviti  perbincangan  dalam  kumpulan.  Ketika  berada  di  rumah, Rizal  seorang  anak  yang  malas  dan  kurang   bercakap. Oleh  itu, proses  perkembangan  kognitif  tidak  berlaku  antaranya  dan  keluarganya. Pengetahuan  Rizal  lebih  banyak  terbina  melalui  apa  yang  ditontonnya  di  televisyen  berbanding  apa  yang  didengarnya  melalui  interaksi  antara  individu  yang  berada  di  sekelilingnya. Selain  itu persekitaran  dan  sistem  lingkungan  budaya  kanak-kanak  juga  membantu  mereka  mengadaptasi  perkembangan  kognitif. Dalam  situasi  Rizal, nilai  dan  adab  serta  tingkahlakunya  yang  kurang  sopan  seperti  bercakap  dengan  nada  yang  tinggi  terhadap  guru  serta  melepaskan  geram  kepada  rakan-rakannya  merupakan  kesan  daripada  apa  yang  dilihatnya  di  televisyen.
Perkembangan  mental  kanak-kanak  terhad  disebabkan  oleh  sistem  biologi  yang  belum  berkembang  dan  matang. Walaupun  begitu  persekitaran  dan  sistem  lingkungan  budaya  kanak-kanak  membantu  mereka  mengadaptasi  perkembangan  kognitif. Setiap  budaya  menerapkan  cara  hidup  dan  cara  berfikir  kepada  kanak-kanak. Menurut  Vygotsky, dua  faktor  utama  dalam  perkembangan  kognitif  kanak-kanak  ialah  interaksi  sosial  dan  kemahiran  berbahasa.
Pada  peringkat  ini, kanak-kanak  seharusnya  sudah  mula  dapat  menerima  pendapat  daripada  orang  lain. Namun  berbeza  bagi  Rizal, dia  tidak  suka  memberi  rakan-rakannya  peluang  untuk  mengutarakan  pendapat, ini  bermakna  dia  tidak  dapat  menerima  pandangan  rakan-rakannya  terutamanya  ketika  melakukan  tugasan  dalam  kumpulan. Dia  mahu  semua  orang  menerima  pendapatnya  dan  sekiranya  tidak  diterima, dia  akan  mencari  jalan  untuk  melapaskan  kekecewaannya  tersebut  seperti  menjawab  dengan  suara  yang  tinggi  dan  melepaskan  geram  kepada  rakan  yang  duduk  berhampiran  dengannya.
Ketika  menjawab  soalan  pula, Rizal  selalu  melakukan  kesalahan. Ini  kerana  sikapnya  yang  gopoh, dia  tidak  dapat  mengingati  apa  yang  telah  dipelajarinya. Ketika  menjawab  soalan  dalam  peperiksaan  pula, dia  tidak  dapat  mengurus  masanya  untuk  menjawab  soalan  yang  susah  kepada  yang.Rizal  hanya  ingin  cepat  siap  dan  ingin  rakan-rakannya  menganggapnya  hebat  kerana  dapat  menyiapkan  kerja  dengan  cepat. Sikapnya  tersebut  telah  mempengaruhi  dalam  pencapaian  akademiknya  yang  mengakibatkannya  ketinggalan  di  belakang.
Dalam  Zon  Perkembangan  Proksimal  pula, Rizal  berada  di  zon  bawah, ini  kerana  dia  boleh  berinteraksi  dengan  baik  namun  masih  perlu  bimbingan  dalam  aspek  kesopanan  dan  nilai-nilai  murni. Rizal  suka  melakukan  tugasan  dalam  kumpulan, akan  tetapi  dia  tidak  suka  memberi  rakan-rakannya  peluang  untuk  bercakap, oleh  itu  guru  haruslah  membimbingnya  supaya  dapat  menerima  pandangan  orang  lain  supaya  sesuatu  kerja  dapat  dilaksanakan  dengan  baik  dan  menghasilkan  kerja  yang  sempurna  dengan  kerjasama  dalam  ahli  kumpulan.

3.1.      Aspek  Sosioemosi

Teori  Perkembangan  Psikososial    Erikson  menekankan  kepentingan  hubungan  sosial  dengan  individu-individu  di  persekitaran  kanak-kanak. Menurut  Erikson, personaliti  seseorang  kanak-kanak  dibentuk  hasil  daripada  perkembangan  Psikososial  ini. Erik  Erikson  telah  memperkenalkan  lapan  peringkat  perkembangan  psikososial  di  mana  setiap  peringkat  saling  berkait  antara  satu  sama  lain. Setiap  peringkat  mempunyai  matlamat  untuk  dicapai. Kejayaan  atau  kegagalan  mencapai  matlamat  atau  menyelesaikan  krisis  perkembangan  akan  membawa  akibat  kepada  imej  kendiri  seseorang  individu.
Daripada  lapan  peringkat  perkembangan  psikososial  tersebut, Rizal  berada  di  peringkat  yang  ke  empat  iaitu  industri  lawan  rasa  rendah  diri. Pada  peringkat  ini, tahap  umur  ialah  dalam  lingkungan  6  hingga  11  tahun di  mana kanak-kanak  perlu  menguasai  kemahiran-kemahiran  tertentu   dan  mereka  sudah  mula  masuk  ke  alam  persekolahan, kegagalan  akan  membawa  kepada  rasa  rendah  diri  dan  tiada  keupayaan.
            Dalam  situasi  Rizal, dia  berada  di  peringkat  ke  empat  di  mana  peringkat  ini  kanak-kanak  mula  memasuki  alam  persekolahan  sekolah  rendah. Rizal  merupakan  seorang kanak-kanak  yang  berumur  9  tahun  dan  Rizal  seharusnya  telah  menguasai  kemahiran  3M  iaitu  membaca, mengira  dan  menulis. Guru  dan  rakan  sebaya  akan  mempunyai  pengaruh  yang  besar  ke  atas  perkembangan  kanak-kanak  dan  pemikiran  kanak-kanak  sudah  mula  mencapai  operasi  konkrit  dan  berupaya  membuat  transformasi  dan  pertalian  antara  dua  situasi  yang  berkaitan  serta  mula  berfikir  secara  logik.
            Kanak-kanak  pada  peringkat  ini  suka  aktiviti  berkumpulan  yang  berbentuk  kemahiran. Dalam  situasi  Rizal, dia  sangat  suka  ketika  diberi  tugasan  dan  dia  berusaha  bersungguh-sungguh  dalam  melaksanakan  tugasan  yang  diberikan. Namun, dia  tidak  suka  memberi  rakan-rakannya  peluang  untuk  berkongsi  pendapat. Ini  bermakna, dia  menginginkan  rakan-rakannya  tersebut  supaya  menerima  semua  cadangan  yang  diutarakan  olehnya. Rizal  yakin  dengan  kebolehan  yang  dimilikinya  dan  berharap  akan  berjaya  untuk  menyiapkan  tugasannya  tersebut. Menurut   Teori  Psikoanalisis  oleh  Sigmund  Freud  terdapat  3  komponen  personaliti  iaitu  Id, Ego  dan  Superego. Rizal  berada  di  bahagaian  ego, kerana  apabila  dimarah  dia  akan  mendengus  dan  bermasam  muka  dan  akan  melepaskan  geram  ke  atas  rakan-rakan  yang  duduk  berhampiran  dengannya.
            Rizal  suka  menyampuk  ketika  guru  sedang  mengajar. Sikapnya  itu  membuatkan  dia  dimarahi  oleh  gurunya. Menurut  teori  Vygotsky, kanak-kanak  yang  sentiasa  dimarah  dan  dikritik  pada  peringkat ini  akan  mengakibatkan  kanak-kanak  merasa  rendah  diri  dan  tiada  keupayaan  bukan  sahaja  terhadap  pencapaian  akademik  tetapi  juga  dalam  hubungan  sosial  dengan  individu  di  persekitaran  mereka. Buktinya  dapat  dilihat  di dalam  pencapaian  akademik  Rizal  yang  tidak  memuaskan, dia  sering  ketinggalan  di  belakang. Ini  kerana  Rizal  sering  dimarahi  oleh  gurunya, mungkin  disebabkan  oleh  itu  Rizal  hilang  keyakinan  dalam  melakukan  tugasan  yang  diberi. Dia  berusaha  untuk  cepat  menyiapkan  kerja  supaya  mendapat  pujian  daripada   gurunya. Namun  sikap  gopohnya  tersebut  mengakibatkannya  selalu  membuat  kesilapan  dalam  jawapannya  dan  ketinggalan  di  belakang.
Menurut  Teori  Perkembangan  Moral  Lawrence  Kohlberg  pula, beliau  telah  mencadangkan  peringkat  perkembangan  moral  individu. Peringkat  tersebut  mempunyai  3  tahap  dan  setiap  tahap  mempunyai  2  peringkat. Melalui  teori  ini, Rizal  berada  di  tahap  yang  pertama  dan  peringkat  ke  2. Tahap  pertama  ini  ialah  tahap  Pra-Konvensional  dan  peringkat  yang  kedua  iaitu  orientasi  ganjaran  peribadi. Rizal  melakukan  sesuatu  hanya  untuk  mendapatkan  ganjaran  daripada  guru  serta  rakan-rakannya. Contoh  yang  dapat  kita  lihat  ialah  ketika  dalam  aktiviti  berkumpulan, Rizal  tidak  mahu  memberi  rakan-rakannya  peluang  untuk  memberi  pendapat. Ini  kerana  Rizal  mahu  rakan-rakannya  menganggapnya  hebat  dan  patut  diberi  pujian  kerana  dia  memberi  idea  yang  banyak  dan  bernas.
Rizal  suka  menyampuk  ketika  dalam  proses  pengajaran  mungkin  kerana  dia  ingin  mendapat  pujian  dan  perhatian  daripada  gurunya, namun  dia  dimarah  dan  bukannya  seperti  apa  yang  dia  inginkan. Kesan  daripada  tindakan  gurunya  yang  memarahinya  di  hadapan  rakan-rakannya  yang  lain  telah  menimbulkan  rasa  malu  dan  rendah  diri. Bagi  menghilangkan  rasa  malu  akibat  dimarah, Rizal  membalas  dengan  suara  yang  kuat  dan  melepaskan  rasa  geramnya  tersebut  kepada  rakan-rakannya  yang  duduk  berhampirannya. Dalam  situasi  ini, guru  seharusnya  menegur  pelajar  dengan  cara  yang  lembut  tetapi  tegas  supaya  tidak  menimbulkan  rasa  malu  dan  rendah  diri  dalam  diri  pelajar.
            Pada  peringkat  ini  juga, kanak-kanak  melakukan  sesuatu  tugasan  hanyalah  untuk  mencapai  kejayaan  yang  akan  membuatkan  hati  mereka  puas. Dalam  situasi  Rizal , dia  selalu  gopoh  dan  dia  melakukan  sesuatu  tugas  hanya  untuk  memuaskan  hatinya  dan  mendapat  pujian. Rizal  sudah  merasa  puas  dan  berjaya  sekiranya  dia  dapat  menyiapkan  tugasannya  dengan  cepat  tanpa  memikirkan  hasil  daripada  apa  yang  dia  usahakan.


3.2.        Farid

  Aspek  Kognitif

Kemahiran  kognitif  di  sini  bermakna  kebolehan  seseorang  kanak-kanak  terutamanya  dalam  memberi  pendapat, memahami, mengingati  perkara-perkara  yang  berlaku  di  persekitaran. Kemahiran  kognitif  ini  melibatkan  aktiviti  mental  seperti  ingatan, mengkategori, merancang, menaakul, menyelesaikan  masalah, mencipta, berimaginasi  dan  lain-lain. Kemahiran  ini  penting  dalam  kehidupan  seseorang.
Beralih  pula  kepada  situasi  Farid, aspek  kognitif  Farid  adalah  berada  di  tahap  yang  baik.  Ini  kerana  dia  pandai  membaca, menyelesaikan  masalah,mengenalpasti  situasi  di  sekeliling, bertanggungjawab, memahami,dapat  mengingati  perkara-perkara  yang  berlaku, mengkategori  dan  menghormati  orang  lain.
Seperti  teori  yang  telah  dikaji  sebelum  ini  iaitu  Teori  Perkembangan  Kognitif  Jean  Piaget. Beliau  berpendapat  proses  pemikiran  kita  berubah  mengikut  proses  pertumbuhbesaran  seseorang  contohnya  selepas  lahir  hinggalah  mencapai  kematangan. Piaget  telah  mengenalpasti  empat  faktor  yang  saling  berkait  rapat  yang  boleh  mempengaruhi  proses  pemikiran  individu. Faktor-faktor  tersebut  ialah  kematangan  biologi, interaksi  individu  dengan  persekitaran, pengalaman  sosial  dan  keseimbangan.
Proses  pemikiran  Farid  juga  ada  yang  dipengaruhi  oleh  faktor  baka  dan  genetik. Dia  mewarisi  gen  yang  yang  terdapat  dalam  diri  ibunya  iaitu  seorang  isteri  yang  tabah, sabar  dan  sanggup  mengharungi  cabaran  hidup  selepas  kematian  suami. Selepas  kematian  suami, ibu  Farid  masih  dapat  meneruskan  kehidupan  bersama-sama  anak-anaknya. Dia  tetap  dapat  mengurus  anaknya  walaupun  tiada  suami  di  sisinya.
Seterusnya  ialah  interaksi  individu  dengan  persekitaran. Farid  merupakan  seorang  kanak-kanak  yang  pendiam, pasif  dan  tidak  suka  bergaul. Dia  lebih  banyak  menerima  ilmu  melalui  pembacaan  dan  ketika  dalam  proses  pembelajaran  di  kelas. Sikap  Farid  lebih  suka  menerima  apa  yang  diajar  tanpa  bertanya  soalan. Ketika  dalam  perbincangan  kumpulan  pula, Farid  tidak  suka  memberi  pendapat. Dia  hanya  memerhati  kawan-kawannya  berbincang. Namun  begitu  dia  adalah  seorang  pelajar  yang  mempunyai  akademik  yang  baik  kerana  dia  suka  membaca.
Pengalaman  sosial  juga  banyak  mempengaruhi  dalam  perkembangan  kognitif  seseorang. Oleh  kerana  Farid  seorang  murid  yang  pendiam, perkembangan  kognitifnya  kurang  didapati  melalui  interaksi  dengan  individu  di  persekitarannya. Dia  mengembangkan  pengetahuan  dengan  mendengar  ketika  proses  pengajaran  berlaku  dan  membaca  ketika  masa  rehat  sahaja. Namun  begitu, dia  hanya  akan  bergaul  dengan  rakan-rakan  yang  berdekatan  dengan  rumahnya  sahaja.
Sejak  kematian  ayahnya, Farid  cuba  menyeimbangkan  keadaannya  dengan  situasi  sekeliling. Keseimbangan  merupakan  faktor  keempat  di  dalam  empat  faktor  yang  saling  berkait  dan  boleh  mempengaruhi  proses  pemikiran  individu  mengikut  teori  Piaget. Proses  keseimbangan  ini  merupakan  salah  satu  cara  yang  digunakan   oleh  individu  untuk  mengadaptasi  dengan  situasi-situasi  yang  baru  dialami. Farid  sentiasa  kelihatan  sedih  ketika  berada  di  kelas. Mungkin  tempoh  ayahnya  meninggal  masih  baru, dan  ini  membuatkan  dirinya  sentiasa  kelihatan  sedih  dan  masih  dalam  proses  untuk  menyesuaikan  diri  dan  perasaan  dengan  situasi  yang baru.  Menurut  Piaget, proses  mengorganisasi, mengasimilasi  dan  mengakomodasi  adalah  proses  yang  digunakan  individu  untuk  mencapai  keseimbangan. Individu  akan  terus  menguji  minda  mereka  untuk  mencari  keseimbangan.
Dalam  situasi  Farid, dia  cuba  untuk  mencari  keseimbangan  dalam  kehidupan  hariannya  selepas  kematian  ayahnya  dengan  membaca  dan  belajar  bersungguh-sungguh. Sekiranya  sebelum  ini  Farid  seorang  murid  yang  aktif, dan  selepas  kematian  ayahnya  sikapnya  telah  berubah. Farid  meluangkan  masa  rehatnya  dengan  membaca  supaya  tidak  terlalu  mengingati  tentang  arwah  ayahnya. Ketika  berada  di  rumah  pula, Farid  rajin  membantu  ibunya  memasak  dan  mengemas  rumah.
Farid  juga  dapat  mengenalpasti  situasi  di  mana  dia  masih  dapat  bermain  bersama-sama  rakan-rakan  yang  tinggal  berdekatan. Dia  tidak  mendiamkan  diri  sahaja  di  rumah  selepas  kematian  ayahnya. Dia  sering  bermain  bola  bersama-sama  rakan-rakannya.

  Aspek  Sosioemosi

Teori  Perkembangan  Psikososial    Erikson  menekankan  kepentingan  hubungan  sosial  dengan  individu-individu  di  persekitaran  kanak-kanak. Menurut  Erikson, personaliti  seseorang  kanak-kanak  dibentuk  hasil  daripada  perkembangan  Psikososial  ini. 
            Farid  membentuk  perkembangan  sosialnya  melalui  permainan. Walaupun  Farid  seorang  yang  pendiam, dia  tetap  akan  bermain  bola  bersama  rakan-rakan  yang  tinggal  berdekatan  rumahnya. Berdasarkan  maklumat  yang  saya  perolehi  melalui  surat  khabar  myMetro  yang  disiarkan  pada  30  November  2011, penulis  ada  menyatakan  bermain  adalah  perkara  penting  dalam  proses  pertumbuhbesaran  kanak-kanak  kerana  ia  membentuk  bukan  saja  pertumbuhan  fizikal, kognitif (mental)  tetapi  turut  membabitkan  perkembangan  emosi  serta  sosial  (budaya)  kanak-kanak  berkenaan.
            Aktiviti  ataupun  permainan  yang  dimainkan  oleh  kanak-kanak  bukanlah  suatu  paksaan, tetapi  mengikut  kemahuan  ataupun  minat  kanak-kanak  itu  sendiri. Keinginan  dan  minat  tersebut  juga  haruslah  dapat  memberikan  mereka  kegembiraan  dan  kepuasan  tanpa  memikirkan  hasil  daripada  apa  yang  mereka  akan  perolehi  melalui  permainan  tersebut.
            Selain  itu, dengan  bermain  juga  kanak-kanak  akan  mendapat  pengalaman  mengenai  keadilan, peraturan  dan  kesamaan  serta  menguatkan  kebolehan  berfikir  melalui  pelbagai  cara. Sebagai  contoh  ialah  ketika  bermain  bola, Farid  akan  dapat  mempelajari  erti  keadilan  contohnya  ialah  sekiranya  kumpulannya  mendapat  mata  jaringan  gol  kurang  daripada  pihak  lawan, maka  dia  seharusnya  tahu  bahawa  kumpulan  mereka  kalah  dan  bermakna  kumpulan  lawan  merupakan  pemenang  dalam  permainan  tersebut  kerana  mempunyai  mata  jaringan  gol  yang  lebih  banyak. Farid  juga  akan  mempelajari  tentang  peraturan. Peraturan  bukan  hanya  terdapat  di  dalam  permainan, malah  setiap  yang  kita  lakukan  mempunyai  peraturan.
Sosioemosi  juga  berkembang  melalui  pengaruh  keluarga.  Farid  merupakan  seorang  anak  yang  rajin  membantu  ibunya  membuat  kerja  rumah  seperti  memasak  dan  mengemas  rumah. Farid  tahu, ibunya  pasti  sedih  kerana  kehilangan  suami. Apatah  dalam  keadaan  anak-anaknya  masih  kecil, Farid  yang  sulung  sahaja  baru  berumur  Sembilan  tahun  dan  masih  ada  empat  orang  adik  lagi.Farid  cuba  menyelesaikan  masalah  ibunya  dengan  meringankan  beban  ibunya  iaitu membantu  ibunya  membuat  kerja  rumah. Di  sini  dapatlah  kita  lihat  tentang  tanggungjawab  Farid  sebagai  seorang  anak  sulung.
Kecerdasan  emosi   meliputi  cara  seseorang  individu  mengendalikan  emosi  diri  serta  persekitaran. Mereka  ini  lebih  bersemangat, mempunyai  ketekunan  dan  dapat  memotivasikan  diri  sendiri. Selain  itu, individu  berkenaan  juga  dapat  menghadapi  kegagalan  dengan  tenang  dan  positif  selain  dapat  mengawal  tekanan  perasaan  supaya  tidak  mengganggu  tumpuan  dan  proses  pemikiran. Mereka  juga  dapat  menjaga  hubungan  dengan  orang  lain  dan  boleh  bersosial  dengan  baik.
            Jika  dilihat  pada  situasi  Farid, dia  mempunyai  tahap  kecerdasan  emosi  yang  tinggi. Farid  dapat  meneruskan  persekolahan  dan  kehidupan  hariannya  dengan  bersemangat. Malah  dia  tekun  membaca  buku  ketika  mempunyai  masa  yang  terluang. Dia  juga  dapat  mengawal  tekanan  perasaan  selepas  kematian  ayahnya. Walaupun  dia  kelihatan  sedih, dia  tidak  meraung  menangis  ataupun  melakukan  kerja-kerja  yang  tidak  bertamadun. Malahan  dia  masih  mendapat  keputusan  akademik  yang  memuaskan.
            Menurut  Goleman (1995) , 80%  kejayaan  seseorang  bergantung  kepada  kecerdasan  emosi (EQ)  manakala  lebuh  kurang  20%  sahaja  kejayaan  disebabkan  oleh  kecerdasan  mental (IQ).
            Menurut  Meyer  dan  Salovey  (1993)  pula, kepintaran  emosi  membolehkan  individu  berfikir  lebih  kreatif  dan  dapat  menggunakan  emosi  untuk  menyelesaikan  masalah.
            Goleman  menjelaskan  terdapat  lima  elemen  yang  perlu  diberi  perhatian  dalam  kecerdasan  emosi. Elemen  tersebut  ialah  memahami  emosi  sendiri, kebolehan  mengendalikan  emosi, memotivasikan  diri, menyedari  emosi  orang  lain  dan  mengendalikan  hubungan  dengan  orang  lain.
            Kelima-lima  elemen  tersebut  merupakan  penentu  seseorang  itu  mempunyai  kecerdasan  emosi  yang  tinggi  ataupun  seseorang  individu  yang  tidak  dapat  mengawal  diri. Secara  ringkasnya, Farid  merupakan  seorang  kanak-kanak  yang  mempunyai  kecerdasan  emosi  yang  tinggi. Ini  kerana  dia  memahami  emosinya  sendiri, walaupun  dia  sedih  dia  masih  dapat  mengawal  kesedihannya. Dia  tidak  bersedih  sepanjang  masa, contohnya  ketikan  bermain  bersama  rakan-rakannya. Farid  juga  dapat  mengendalikan  emosinya. Walaupun  amat  sukar  untuk  mengadaptasikan  keadaannya  yang  kehilangan  ayah  dengan  situasinya  di  sekolah, dia  mampu  mengendalikan  perasaan  dan  emosi  ketika  bersama  rakan  dan  keluarganya  di  rumah. Seterusnya  ialah  memotivasikan  diri. Setiap  emosi  individu  berbeza  mengikut  faktor  yang  berlainan. Selepas  kematian  ayah  Farid, dia  selalu  membantu  ibunya  di  rumah. Farid  tahu  ibunya  masih  dalam  kesedihan, oleh  itu  Farid  membantu  ibunya  membuat  kerja  di  rumah  bagi  meringankan  bebanan  perasaan  ibunya  tersebut. Akhir  sekali  ialah  kebolehan  Farid  dalam  megendalikan  hubungan  dengan  orang  lain. Farid  mempunyai  emosi  yang  berbeza  ketika  melalui  persekitarannya  dan  melalui  aktiviti  yang  dijalankannya. Ketika  bermain, dia  akan  bermain  bersungguh-sungguh  dan  apabila  tiba  masa  untuk  belajar  dia  akan  menumpukan  perhatiannya  kepada  mata  pelajaran   yang  diajar.






No comments:

Post a Comment